SIARAN MEDIA ABIM
SumberKenyataan media ini bertujuan untuk mendedahkan aktiviti sebuah gerakan ajaran menyeleweng yang bergerak melalui siri pengajian tafsir al- Quran. ABIM memandang serius isu ini kerana ianya melibatkan beberapa ajaran yang boleh menyebabkan umat Islam keliru dan terjebak di dalam sebuah lagi ajaran yang akan merosakkan masyarakat Islam. Gerakan ini memiliki potensi untuk berkembang dan disyaki sudah tersebar luas di dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Pengenalan:
Kumpulan ini pada peringkat awal melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman al- Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia. Berdasarkan maklumat bekas pengikut kumpulan ini, ramai di kalangan ahlinya terdiri daripada professional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan pengaturcara. Sasaran yang berpotensi untuk didekati ialah kawan rapat secara individu yang menyebabkan ianya berkembang tanpa diketahui umum.
Kerahsiaan:
Elemen kerahsiaan yang begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-ubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi (pada kadar yang tidak munasabah) kewangan atas nama pembelajaran Al-Quran. Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum. Keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan, malah mempunyai beberapa lapisan kepimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Mereka bergerak melalui sel-sel kecil dimana anggota antara sel ini tidak mengenali anggota sel yang lain dan tidak mengetahui nama dan maklumat penyampai dan pimpinan atasan.
Bayaran:
Sebelum memasuki kelas tilawah, prospek dikehendaki membayar wang ‘taubat’ dengan nilai minimum RM 300. Ini adalah tambahan kepada RM 1000 yang telah dibayar untuk menyertai kelas ini sebagai pendaftaran awal, RM 60 bulanan, RM 70 untuk pembelian barang keperluan dan RM 3500 untuk bayaran melawat “Negara Islam”.
Modus Operandi:
Cara pengajaran dilakukan secara abnormal seperti menutup mata, masa yang tidak menentu berdasarkan panggilan telefon, pertanyaan bertubi-tubi dan proses memerangkap peserta dengan idea ajaran dengan justifikasi ayat al-Quran yang ditafsir secara literal mengikut tujuan dan kepentingan gerakan ini. Bentuk nama, bayaran dan modus operandi juga boleh berubah-ubah mengikut keadaan tetapi bentuk asasnya sebagaimana yang sebutkan diatas.
Penafsiran Terhadap Agama:
Gerakan DIN ini juga telah dipastikan bahawa mereka memberi maksud yang menyeleweng terhadap Al-Quran dan juga Hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Antara contoh pemahaman yang dibawa bahawa baginda Rasulullah s.a.w diertikan tidak lebih dari penyampai risalah Allah dan melaksanakan arahanNya, malah orang lain juga adalah rasul. Memberi pemahaman yang menyeleweng dalam melaksanakan ibadah, seperti tidak perlu solat jika berada pada zaman Jahiliyyah atau zaman Mekah, solat hanya di tempat yang aman. Mengeksploitasi kemampuan kewangan para ahli dengan mengenakan bayaran-bayaran tertentu termasuk yang berkala atas nama ‘Daulah Islamiyyah’.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melihat gerakan DIN ataupun Pemuda Kahfi ini disyaki tergolong sebagai ajaran sesat yang menyimpang dari ajaran Islam dan pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Tindakan untuk membendung kegiatan ini adalah memerlukan tindakan segera kerana:
i. Modus operandi pergerakannya yang begitu berahsia dan mampu berkembang dengan cepat tanpa disedari masyarakat terbanyak.
ii. Gerakan yang secara aktif dan agresif dalam menyampaikan ajaran agama yang terpesong dari pegangan sebenar dan menyesatkan orang ramai dalam perkara-perkara terpenting dalam agama Islam seperti ketuhanan dan kerasulan.
iii. Gerakan yang menyemai sikap taksub kepada pemimpin dan arahan gerakan yang pasti menjadi ancaman kepada kestabilan politik dalam masyarakat dan negara.
iv. Matlamat gerakan yang ingin membina sebuah negara Islam versi sendiri adalah bertentangan dengan undang-undang serta kekhuatiran kepada keselamatan negara.
v. Perbuatan gerakan yang bertentangan dengan norma-norma sosial masyarakat seperti cara pengajaran tertutup, sanggup membohongi keluarga dan serta eksploitasi wang hasil pengajaran ini.
Oleh itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap agar:
Seluruh masyarakat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga didalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modus-operandi atau pendekatan yang telah dinyatakan ini.
Kepada mereka yang telah terlibat atau baru mengikuti ajaran ini agar benar-benar menilai kembali pembabitan mereka dan berbincang dengan pihak yang berwajib serta alim ulama yang sedia ada.
Memohon agar pihak dan individu yang mengetahui maklumat mengenai aktiviti yang sama dengan ciri-ciri diatas supaya dapat di maklumkan kepada pihak jabatan agama atau ABIM sendiri.
Menggesa pihak jabatan agama dan pihak keselamatan agar memantau rapi aktiviti gerakan ini.
ABIM bersedia bekerjasama dan membantu dalam menangani isu ajaran seperti ini. Kerjasama dan perhatian seluruh pihak mengenai perkara ini amat penting untuk menjamin keharmonian dan kemurnian agama Islam.
YUSRI MOHAMAD
Presiden
No comments:
Post a Comment