Cakap tidak serupa bikin
KUALA LUMPUR - Ajaran Gerakan Kahfi bukan sahaja dilihat bercanggah dengan agama Islam, tetapi pengikutnya sendiri dikatakan hanya pandai bercakap sahaja.
Ia didedahkan seorang bekas ahli dalam kumpulan tersebut yang hanya dikenali sebagai Ali ketika menghubungi KOSMO! semalam.
Lagi pun menurut beliau, banyak perkara yang disampaikan menerusi kumpulan itu bercanggah dengan Islam sehingga ia mengelirukan.
Jelasnya, pengikut ajaran itu juga tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
"Mereka memang pandai cakap pasal agama, tetapi apa yang diperkatakan itu tidak ada yang diamalkan dalam kehidupan mereka sendiri," ujarnya yang pernah mengikuti kumpulan tersebut selama tiga bulan baru-baru ini.
Kata Ali, beliau mengetahui tentang perjuangan kumpulan itu setelah diperkenalkan oleh rakan sepejabatnya yang berkali-kali mendesak supaya kembali ke pangkal jalan.
Rakannya itu memberitahu, umat Islam hari ini telah banyak terpesong dari segi akidah dan perlukan 'penghijrahan' bagi mendapatkan keredaan sebelum diterima masuk ke syurga.
"Apa yang saya musykil, rakan saya itu sendiri tidak pernah bersembahyang, puasa apatah lagi melakukan perkara wajib mahupun sunat.
"Tingkah lakunya itu benar-benar meragukan saya dan di situ saja telah menunjukkan yang dirinya tidak mencerminkan ciri-ciri yang boleh diteladani," katanya.
Semalam KOSMO! melaporkan, sebuah kumpulan ajaran sesat yang berpangkalan di sebuah negara jiran telah mula bertapak di negara ini dan ia semakin aktif sejak akhir-akhir ini.
Lebih mengejutkan, hanya dengan membayar RM250, pengikut boleh menghapuskan dosa dan memasuki syurga dengan mudah tanpa perlu dihisab di samping menggunakan ayat-ayat suci al-Quran bagi mempengaruhi orang ramai untuk memasuki kumpulan itu.