Monday, August 10, 2009

Liputan Tangkapan di Negeri Sembilan

Kelas agama tanpa tauliah diserbu

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


PENGIKUT kumpulan menaiki trak polis untuk siasatan lanjut dalam operasi di Seremban, semalam.

Kumpulan boleh ancam keselamatan negara

SEREMBAN: Sebuah kumpulan diketuai golongan profesional serta mensasarkan golongan muda untuk mempelajari ilmu agama dan dikenakan tindakan di Selangor tahun lalu, diserbu dalam operasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) dan polis di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi di tingkat tiga rumah kedai di Kawasan Perniagaan Oakland dekat sini itu, seramai 20 orang yang kebanyakan berumur awal 20-an ditahan ketika sedang mengikuti kelas agama.

Ketua operasi Jains, Mohd Zol Sidek, berkata semua yang ditahan dengan sebahagiannya perempuan dan berasal dari sekitar Lembah Klang datang ke sini kelmarin dan bermalam di rumah kedai itu.


Katanya, ketua kumpulan itu, seorang profesional dari Kuala Lumpur turut ditahan dan siasatan teliti terhadapnya sedang dilakukan.


"Kumpulan itu ditubuhkan di Selangor pada 1998 dan bergerak aktif pada 2003. Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak terhadap kumpulan itu kerana mengajar agama tanpa tauliah dan memperkenalkan doktrin palsu," katanya ketika ditemui di kawasan rumah kedai itu, semalam.

Mohd Zol berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Jais yang memaklumkan bahawa anggota kumpulan itu akan mengadakan kegiatan mereka di sini.

Katanya, mengajar agama tanpa tauliah menyalahi Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM3,000 atau penjara dua tahun.

Siasatan katanya, sedang dilakukan dan enggan mengesahkan sama ada ajaran kumpulan itu bertentangan dengan Islam.

Dua lelaki yang dipercayai pemimpin kumpulan itu dibawa secara berasingan menaiki sebuah kereta dan van, manakala pengikut dibawa menaiki trak polis.

Pemilik restoran di tingkat bawah rumah kedai itu memberitahu Berita Harian, kumpulan itu menyewa di tingkat tiga bangunan itu sejak setahun lalu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kumpulan itu boleh mengancam keselamatan negara dengan selain mengamalkan ajaran sesat, ia mempunyai agenda tersembunyi dengan mengambil masuk ahli untuk tujuan tertentu.