SATU kumpulan agama yang disyaki membawa ajaran sesat berpangkalan di Indonesia, menggunakan konsep jualan langsung untuk merekrut ahli di negara ini dan mengutip deposit daripada anggotanya, termasuk artis dan pemain bola sepak profesional.
Gerakan secara tersembunyi yang dikatakan bermula sejak akhir 1990-an itu dilaporkan bertapak di negara ini selepas markas asalnya di Haurgeulis Indramayu, Jawa Barat bertapak kukuh di bawah pesantren Maahad Az-Zaitun (MAZ)
Pergerakan kumpulan ini dikenali dengan pelbagai nama termasuk Gerakan Pemuda Kahfi (GPK), Daulah Islamiyah Nusantara (DIN), Negara Islam Indonesia (NII) dan Pencinta al-Quran, dipercayai sudah merekrut ribuan ahli.
Kelompok yang menjadi sasaran termasuk di kalangan profesional dan berpendidikan tinggi termasuk jurutera, pegawai bank, pegawai eksekutif, peniaga hingga pekerja kelas bawahan.
Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarof, berkata anggota kumpulan itu dibahagikan mengikut negeri yang dinamakan Region (wilayah) atau simbol ‘R’ contohnya R6 yang mewakili Selangor diikuti pecahan mengikut kawasan yang dinamakan seperti A1, A2 dan A3.
“Setiap peringkat juga menggunakan sistem tertutup di mana anggota tidak mengenali pemimpin serta orang atasannya yang bertanggungjawab mengendalikan semua urusan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, anggota kumpulan ini dikehendaki berbai’ah atau sumpah taat setia pada pergerakan itu dengan membayar RM300 sebagai wang taubat dan RM60 lagi wang Infaq, sebagai komitmen dalam memorandum persefahaman peringkat satu atau MOU I/M I.
Selain itu, katanya, anggota juga perlu membayar wang komitmen sebanyak RM200 sebulan sebelum pergi ke peringkat seterusnya atau MOU II/M II yang memerlukan bayaran bernilai RM3,500 setiap anggota yang akan dibawa melawat MAZ di Indonesia.
Menurut Shahrom, MAZ tidak hanya dianggap sebagai sebuah perguruan Islam, sebaliknya sebagai sebuah negara Islam merdeka dinamakan Negara Islam Indonesia (NII) di dalam republik itu sendiri.
Katanya, penyimpangan ajaran gerakan ini terserlah apabila kepimpinan dan anggota MAZ menyamakan NII sebagai Madinah manakala wilayah atau negara lain seperti Malaysia adalah Makkah dan penduduk yang tidak berbai’ah dengan MAZ dianggap kufur.
Malah, pengkafiran masyarakat di luar kelompok MAZ ini dibuktikan hasil kajian Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang mendapati terdapat penyimpangan fahaman dan ajaran Islam yang mereka praktikkan, terutama membabitkan tafsiran al-Quran, urusan zakat fitrah dan korban.
Shahrom berkata, MUI juga mendapati sistem kewangan MAZ tidak telus dalam aliran tunainya kerana wang yang diberikan anggota tidak dinyatakan jumlah kutipan atau perbelanjaannya.
Di Malaysia, katanya, pergerakan MAZ dikesan mempunyai hubungan rasmi dengan sebuah pertubuhan yang didaftarkan di Shah Alam, Selangor iaitu Yayasan Ma’had Malaysia (Ya’mal).
Beliau berkata, Ya’mal yang ditubuhkan pada 24 Disember 1999 beroperasi dengan berkonsepkan madrasah yang memfokuskan pengajaran agama di kalangan kanak-kanak Islam sebelum pelajarnya menyambung pelajaran di MAZ.
Menurutnya, Jais pernah memberi kebenaran pada MAZ untuk menyediakan Program Pendidikan Persediaan Jangka Pendek pada Ogos 2001.
“Bagaimanapun, pada 20 Ogos 2002, Jais mengeluarkan surat mengarahkan semua operasi Ya’mal diberhentikan dan yayasan itu di Shah Alam ditutup selepas siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati wujud unsur penyelewengan akidah dalam pengajaran MAZ.
“Kegiatan MAZ dan pergerakan anggota itu juga sedang dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Shahrom berkata, berdasarkan pendedahan seorang mangsa yang pernah menyertai gerakan itu pada pertengahan 1990-an, dia membayar RM200 sebagai wang taubat selain bayaran bulanan sebanyak RM70.
Katanya, mangsa bersama rombongan anggota kumpulan itu pernah melawat MAZ selepas membayar RM3,500 selain menderma RM100 untuk pusat pengajian itu.
Menurutnya, pada hari mereka dijadualkan ke Indonesia, rombongan itu singgah di beberapa tempat dan negeri untuk mengambil jemaah sebelum ke negara jiran dan berlepas menaiki kapal terbang dari negara berkenaan.
Apabila sampai di MAZ, mereka diberi peluang bertemu dengan kepimpinan maahad itu dan ketua rombongan menyerahkan sumbangan bernilai kira-kira RM360,000 hasil kutipan daripada anggota di bawah kelolaannya.
Shahrom berkata, dalam kes lain membabitkan wanita, mangsa diperkenalkan oleh kenalannya dengan wakil kumpulan itu sebelum diminta mengikuti kelas agama di sebuah lokasi.
Bagaimanapun, katanya, wanita yang mempunyai asas agama yang agak luas itu ragu-ragu kerana ketika sampai di kelas itu hanya dia dan seorang guru lelaki di situ, membuatkan dia meragui ajaran berkenaan dan menjauhinya.
“Kebiasaannya mangsa didekati melalui orang tengah yang dikenalinya. Wakil kumpulan itu biasanya berpakaian kemas dan tidak melambangkan kumpulan agama yang lazim seperti berjubah atau memakai ketayap.
“Pada pertemuan awal, mangsa hanya diterangkan mengenai asas agama supaya dapat menarik minat untuk mendalami ilmu.
“Selepas beberapa peringkat, barulah mangsa dikehendaki berbai’ah dan membayar dalam jumlah tertentu. Oleh itu, golongan yang sering terpedaya adalah mereka yang kurang didikan agama,” katanya.
Mabadiuth Thalathah+Isa Bugis+Lembaga Kerasulan [ Pemuda Kahfi/MD/Futuh/M1/M2/MadinahKedua/Ka'bah II/Binatang/SapiEmasPerahan/Rabb@Pengatur/PonziScheme/MLM ]
Thursday, December 04, 2008
Hebatnya MAZ
sumber