Thursday, December 04, 2008

Seksinya ..! Peduli apa janji ada fulus

‘Logik ke pakai seksi masuk kumpulan agama’

“Kalau sudah pakai seksi-seksi macam ini (baju paras lutut tanpa lengan), logik ke saya ikut kumpulan agama (ajaran sesat)?” soal pelakon drama, Norzalina Mohd Sudin atau lebih dikenali sebagai Intan Zalina, mengulas namanya yang turut disenaraikan sebagai anggota kumpulan ajaran sesat Gerakan Pemuda Kahfi.

Pelakon yang membintangi drama bersiri RTM, Mahar Cinta Mama, Kekasih Terakhir dan Gadis Bintang (Astro) itu terkejut apabila dimaklumkan namanya disenaraikan bersama beratus-ratus pengikut kumpulan ajaran sesat yang berpangkalan di Indonesia itu.


Intan Zalina mengaku dia tidak menyangka butiran dirinya termasuk tarikh lahir, nombor kad pengenalan, alamat kediaman yang lengkap, nombor telefon, pekerjaan sebagai artis dan tahap pendidikan, direkod oleh kumpulan ajaran sesat itu.

“Ini kali pertama orang maklumkan yang saya ini ahli kumpulan ajaran sesat. Berdebar rasanya. Pelik pun ada juga, orang (artis) lain keluar macam-macam gosip, gambar tak senonoh, skandal itu ini, tapi saya pula dikaitkan dengan ajaran sesat.

“Saya tidak pernah mengikut mana-mana kumpulan agama, apa lagi terbabit dalam kegiatan (kumpulan) dakwah dan agama. Kalau Puteri Islam kat sekolah dulu, ada lah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sebuah kafe berdekatan rumahnya di Damansara, baru-baru ini.

Pengacara dokumentari drama Imbas kembali dan program RTM1, Platinum Production itu berkata, kerjaya dan imejnya sebagai pelakon juga tidak sesuai dengan pergerakan kumpulan yang cenderung dengan kegiatan agama apa lagi sekarang dia sibuk dengan syarikatnya, De'Bunga Deco yang aktif dalam perancangan majlis perkahwinan.

Menurut rekod pergerakan kumpulan itu, Intan Zalina direkrut oleh lelaki bernama Amir bagi kawasan Ulu Klang dan sudah berbai’ah atau bersetuju dengan MOU (memorandum persefahaman) Satu (bai’ah peringkat pertama dalam gerakan al-Madinah) pada 23 April 2006.

Berdasarkan carta aliran Sistem Pendidikan Iqra’ (SPI) bai’ah atau taat setia MOU I membabitkan pembayaran wang taubat sebanyak RM300 bersama wang infaq berjumlah RM60.

Berkerut dahi Intan Zalina memikirkan bagaimana butiran diri itu jatuh ke tangan kumpulan itu, tetapi dia tetap tidak dapat menjawab persoalan itu.

Apa yang dapat difikirkannya ialah kemungkinan dia pernah menyerahkan maklumat peribadi itu kepada seseorang untuk tujuan lain seperti insurans atau unit amanah, tetapi diselewengkan oleh pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan pergerakan berkenaan.

“Saya juga tidak pernah beri derma kepada mana-mana pertubuhan agama. Kalau ada dulu pun saya pernah terbabit dalam memberi sumbangan mangsa tsunami.

“Itu pun, masa saya masih belajar lagi dan hanya bagi sumbangan makanan dan pakaian. Tak ada pula bagi duit,” katanya cuba meyakinkan wartawan Metro Ahad.

Ditanya tindakan selanjutnya termasuk membuat laporan polis memandangkan rekod namanya itu turut disimpan pihak berkuasa, Intan Zalina berkata, dia perlu dulu melihat sejauh mana isu itu menjejaskan dirinya.

Sama ada Intan benar-benar tidak terbabit atau dia hanya ‘berlakon’ seolah-olah dia menjadi mangsa penipuan, sukar dibuktikan, namun hujah dan penampilan diri Intan Zalina mungkin boleh dijadikan sandaran dan sokongan pada pengakuannya itu.