Monday, June 02, 2008

Di manakah ku cari pemuda kahfi

Tanggung pemimpin

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Ahli kumpulan ajaran songsang Pemuda Kahfi bukan sahaja terpaksa menjelaskan kos SMS pemimpin ajaran itu, tetapi diwajibkan membeli makanan beku, jus minuman, minyak angin, kuih-muih dan sebagainya menyebabkan ahli perlu menghabiskan sehingga RM2,000 sebulan tanpa alasan.

Selain itu, terdapat bayaran lain berjumlah ratusan ringgit perlu dijelaskan ahli, kononnya untuk menampung kos seperti aktiviti mingguan, program kepimpinan, pengangkutan, sewa bangunan, bil air serta elektrik dan peralatan pejabat.

Alasan diberikan pemimpin Pemuda Kahfi ialah dengan semua sumbangan itu, ahlinya akan dinaikkan hingga ke darjat tertinggi tanpa perlu dihisab untuk masuk syurga.

Bagaimanapun, jika ada ahli yang memberikan alasan serta tidak membuat pembayaran diwajibkan maka mereka akan dibacakan ayat tertentu daripada al-Quran bagi menambahkan keyakinan ahli.

Pendedahan eksklusif kepada Harian Metro itu dibuat seorang lelaki dikenali sebagai Yus, 36, yang pernah menjadi ahli Pemuda Kahfi selama beberapa bulan sebelum keluar kerana sedar banyak yang songsang tentang ajarannya.

Selain semua itu, ahli baru juga diminta menyediakan RM3,600 sebagai bayaran untuk berhijrah ke negara Pemuda Kahfi yang perlu dijelaskan dalam tempoh tertentu.

“Kononnya, negara Pemuda Kahfi akan dilaksanakan di Indonesia tetapi apabila ditanyakan kepada pemimpinnya, mereka memberikan jawapan melucukan iaitu di sebuah negara beriklim empat musim,” katanya, di sini, semalam.

Berkaitan kelayakan untuk menjadi ahli Pemuda Kahfi, Yus berkata setiap yang terpilih diwajibkan menyerahkan nama ‘prospek’ baru yang difikirkan layak untuk ditarbiah pada masa depan.

Dalam masa sama, nama prospek akan dimasukkan ke dalam bank data kumpulan terbabit sebelum didekati secara diam-diam untuk direkrut moderator ajaran songsang itu.

Antara kriteria utama untuk menjadi ahli ialah tidak terlalu tua atau terlalu muda, berharta, sihat tubuh badan, bukan anggota keselamatan, tidak bekerja syif serta bukan seorang mualaf.

“Selepas itu, individu berkenaan akan menjalani proses saringan dengan pelbagai temuduga dijalankan untuk memastikan mereka menepati apa digariskan pemimpin Pemuda Kahfi dan hanya selepas sah sebagai ahli, barulah mereka diwajibkan menjelaskan pelbagai bayaran yang memeningkan kepala,” katanya.