Monday, June 02, 2008

Jalan lain ke syurga

metro

Anak imam terjebak

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Anak seorang pak imam tersohor, orang kenamaan (VIP), selain ahli perniagaan berjaya antara ahli kumpulan ajaran songsang Pemuda Kahfi yang bercita-cita menubuhkan sebuah negara Islam berpaksikan ajaran mereka.

Anak pak imam itu dijadikan contoh kepada ahli lain bahawa individu terbabit mempunyai pegangan agama kuat turut percaya pada ajaran songsang Pemuda Kahfi dan dia sering dijadikan modal tarbiah selain kempen mencari ahli baru.

VIP serta ahli perniagaan terbabit pula dijadikan ‘bank bergerak’ oleh kumpulan itu untuk mengeluarkan modal bagi membiayai pergerakan mereka selain kesenangan peribadi pemimpin tertinggi.

Perkara itu didedahkan secara eksklusif kepada Harian Metro oleh seorang bekas ahli Pemuda Kahfi yang kini sudah bertaubat dan berharap pengikut lain berbuat demikian selepas sedar ajarannya lebih banyak memesongkan akidah.

Menurut lelaki dikenali sebagai Yus, 36, anak pak imam itu pada mulanya tidak yakin dengan ajaran Pemuda Kahfi tetapi selepas mengikuti beberapa siri tarbiah rahsia, dia kini beria-ia mengatakan ajaran itu benar dan perlu dianuti pihak lain.

“Lelaki terbabit kini antara orang kuat kumpulan terbabit manakala VIP serta ahli perniagaan itu pula menjadi penyumbang terbesar bagi membiayai pelbagai program mengarut yang diatur.

“Mereka memang mensasarkan golongan seperti itu kerana ia memudahkan pergerakan dan tidak perlu memikirkan soal dana yang sering kekurangan,” katanya di sini, semalam.

Menurut Yus, sepanjang beberapa bulan menjadi ahli Pemuda Kahfi, dia tidak pernah melihat atau mengenali ahli kumpulan terbabit daripada golongan berpendapatan kecil seperti kerani dan sebagainya.

Setiap ahli kononnya bergaji RM2,000 ke atas kerana mereka inilah yang akan dijadikan mangsa mengeluarkan pelbagai biaya tidak masuk akal selain jaminan untuk masuk syurga.

“Saya tidak tahu jumlah sebenar ahli Pemuda Kahfi kerana kami dibahagikan kepada kumpulan kecil antara lima hingga 10 orang untuk ditarbiah atau menjalani sesi pengukuhan akidah dan kumpulan kecil itu pula akan bergerak secara sendirian tanpa bertemu kumpulan lain.

“Bagaimanapun, daripada ahli kumpulan kecil saya sertai, mereka bergerak mengikut jadual yang ditentukan pemimpin kerana mahu memastikan apa dilakukan tidak dapat dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Ajaran Pemuda Kahfi dikatakan dibawa ke negara ini oleh pekerja asing warga Indonesia.

Pengikut diminta mengeluarkan wang sebagai jaminan masuk syurga selain bagi membina sebuah negara Islam berteraskan ajarannya dan dengan menggunakan pelbagai ayat suci al-Quran yang disalah tafsir, mereka mendapat ramai pengikut berlainan latar belakang.

Bagaimanapun, gerakan Pemuda Kahfi di Selangor semakin berkurangan dan senyap selepas pihak berkuasa agama menjalankan pelbagai operasi membanteras kegiatannya.