Thursday, May 04, 2006

Majalah Al Islam November 2005

SETELAH membelanjakan RM1,360, Ahmad (bukan nama sebenar) mulai sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan ajaran kumpulan yang diikutinya. Tambahan ada ahli dalam kumpulan yang lalai menunaikan sembahyang, dan apabila ditanya mereka menjelaskan solat boleh dibahagi kepada dua; yang aktual dan ritual.

Sembahyang aktual adalah lain-lain amalan, khususnya melakukan kerja-kerja di dalam organisasi mereka. Malah ulasan mereka mengenai hadis daripada Aisyah yang menceritakan Rasulullah s.a.w. bersembahyang sehingga bengkak kakinya, jauh berbeza daripada yang biasa didengar. Hurai mereka, jika baginda melakukan solat biasa, takkan kakinya menjadi bengkak. Sebenarnya sembahyang Nabi s.a.w. itu bukan solat biasa, tetapi amalan-amalan lain juga adalah solat, kata mereka.
Kelainan huraian mengenai perkara asas dalam Islam ini menimbulkan rasa 'cuak' dalam hati Ahmad. Bagaimana maksud sembahyang fardu ini boleh diperluaskan sedemikian rupa, sedangkan sebelum ini tidak ada ulama menghujahkannya sedemikian? Di mana pula dalil al-Quran dan sunah untuk menegakkan kebenaran hujah sebegini?

Pemuda berusia 25 tahun dan berperwatakan pendiam ini mengakui, dia mula memasuki Kumpulan Daulah Islam Nusantara (DIN)/Pemuda Kahfi tahun lalu setelah diajak tiga rakan sekolahnya untuk mengikuti pengajian al-Quran.
Tanpa disedari, Ahmad menjadi seorang prospek bagi rakan-rakannya yang mengikuti kumpulan yang dikhuatiri sebuah ajaran sesat ini. Mengikut ingatannya, mereka telah tiga kali mengajaknya mengikuti kelas pengajian itu, bagaimanapun dia diberitahu, menurut rekod mereka telah mencuba sebanyak empat kali. Ahmad terkejut, rupanya setiap cubaan mereka menariknya memasuki kumpulan itu direkodkan!

Namun mereka terlalu berahsia. Dia tidak akan diberitahu di mana, bila dan siapa yang akan mengajar dalam pengajian itu. Untuk mengikuti pengajian, mereka akan menunggu di beberapa tempat seperti di stesen minyak, masjid, pusat membeli-belah di Cheras, Kajang, Seri Kembangan dan sebagainya, sebelum dibawa mengikut jalan belakang ke tempat-tempat tertentu untuk mengikuti kelas al-Quran. Ini untuk merahsiakan lokasi sebenar aktiviti, tetapi alasan yang diberi mereka ialah, khuatir pergerakan mereka diketahui 'orang kafir.'

Menurut Ahmad, dalam tempoh 5-10 hari terawal, mereka akan menimbulkan keraguan terhadap perkara-perkara asas dalam Islam sehingga berasa selama ini dia tidak faham agama dan merekalah orang yang benar-benar boleh mengajar, dan memberikan kefahaman sebenar mengenai al-Quran.
Setiap sesi dia akan diasak dengan pelbagai ilmu oleh seorang guru yang digelar penyampai, pendamping dan sponsor. Kursus dijalankan secara intensif, tiga atau empat hari dalam seminggu selama hampir tiga jam, bertubi-tubi, dengan tiga orang cuba meyakinkan atau 'menyerang' seorang prospek dari segi psikologi.

Mereka menimbulkan keraguan sehingga tahap seorang prospek sanggup membayar sejumlah wang untuk mengikuti pengajian enam bulan seterusnya. Mereka berasa ini adalah sesuatu yang istimewa, dan tidak dapat diperolehi di tempat-tempat lain.
Mereka menggunakan ayat al-Quran untuk berhujah, bagi menarik golongan yang berminat dengan agama. Mereka juga menghafal beberapa ayat al-Quran, dan bercakap berlapikkan hujah al-Quran. Ini menimbulkan keyakinan. Malah pemuda ini telah dapat menghafal banyak ayat al-Quran walaupun baru mengikutinya beberapa bulan.

Menurut mereka, perkataan Muhammad yang digunakan di dalam al-Quran adalah satu predikat bagi orang yang membawa ajaran Ahmad. Jadi mereka yang membawa ajaran al-Quran juga adalah Muhammad, berstatus kerasulan.

Mereka mendakwa ramai 'orang besar' telah menyertai kumpulan itu. Malah kata mereka, jika berselisih dengan 'umat' (ahli kumpulan) itu pun mereka tidak akan saling mengenali.
Kata Ahmad, dalam forum-forum atau chatting agama di Internet, unsur-unsur ajaran kumpulan ini yang mentafsir ayat-ayat al-Quran tanpa mengikut asbabul nuzul, boleh dikesan. Mereka ingin menegakkan negara Islam kerana pemerintah-pemerintah sekarang dianggap umpama Firaun. Negara-negara sedia anggap bukan negara Islam, negara atau daulah Islam adalah di sebuah tempat di negara jiran, dan ahli perlu membayar sejumlah wang untuk ke sana setelah mengikuti program-program yang disusun.
Menurut mereka Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah untuk membina sebuah daulah Islam. Sedangkan sekarang kita ibarat berada di Mekah yang bukan sebuah 'negara Islam'. Maka bagi mereka, sesi tilawah dianggap seperti sedang berperang untuk membina negara,

Ahmad bagaimanapun bersyukur dia tidak sempat untuk terbabit terlalu jauh. Dia menyertai mereka kurang enam bulan sebab tidak dapat menerima hujah mereka berkaitan solat. Bagaimanapun telah membayar RM1,000 untuk yuran pendaftaran, RM300 wang taubat dan RM60 lagi sebagai infak.
Menurutnya, ada ahli yang keluar kerana tidak mampu membayar yang dituntut ke atas mereka. Tetapi apabila dia keluar kerana tidak bersetuju dengan ajaran-ajaran kumpulan itu, dia dipanggil kafir. Katanya, ada di antara pengikut kumpulan ini menjadi taasub, dan sukar untuk keluar.

Pengakuan Ahmad ini dibuat dalam sesi khas semasa Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad mendedahkan ajaran kumpulan ini dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat pergerakan itu di Gombak, Selangor baru-baru ini.
Kumpulan ini, Daulah Islamiyah Nusantara (DIN) ataupun disebut Pemuda Kahfi menurutnya mungkin telah bergerak secara rahsia selama 10 tahun di negara ini. Bagaimanapun ABIM mengesan organisasi ini bergerak aktif di beberapa kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih setahun.

Mereka dikatakan membentuk wilayah-wilayah yang dipimpin oleh seorang yang digelar ulul amri serta beberapa beberapa pemimpin bawahan yang menjalankan sesi pengajaran kepada ahli. Sesi pengajaran itu merupakan proses indoktrinasi yang boleh menyebabkan ahli taasub kepada ajaran dan arahan pemimpin.

Menurut Yusri, ramai ahli DIN/ Pemuda Kahfi ini terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka juga mendakwa beberapa 'orang besar' turut mengikuti ajaran ini.
Terbaru kumpulan itu juga dikesan menjadikan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai sasaran mereka. Malah sebilangan kecil pelajar IPT didapati telah pun terbabit dengan kumpulan ini.

Selaras itu, Yusri menasihatkan para ibu bapa memantau anak-anak mereka yang berminat dan mengikuti pengajian agama agar tidak mengikuti kumpulan yang menyeleweng sebegini.
Beliau juga berharap dengan pendedahan ini, mereka yang terbabit, terutama yang telah sampai ke tahap digelar 'umat', tampil ke hadapan untuk memberi maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, ajaran kumpulan ini adalah merbahaya bukan sahaja dari sudut penyelewengan akidah, mengeksploitasi wang para ahlinya, dan bertentangan dengan norma-norma sosial masyarakat, tetapi boleh mengancam keselamatan negara kerana menyemai sikap taasub kepada pemimpin serta gerakan.

selanjutnya...

No comments: