Edisi Tengah : Samseng bengis ketua DIN
MELAKA: Seorang lelaki dipercayai keturunan India Muslim yang dikenali sebagai ‘Pemimpin Allah’ dikesan menjadi pemimpin ajaran sesat Daulah Islamiyah Nusantara (DIN) di beberapa negeri, termasuk Lembah Klang dan Selangor.
Lelaki berperwatakan bengis berusia 40-an itu dipanggil ‘senior eksekutif’ di kalangan ketua yang dilantiknya mengikut daerah tertentu.
Dia sering menemui pengikutnya di beberapa tempat, termasuk Semabok, Bukit Beruang dan Merlimau tanpa mengira waktu.
Kegiatan lelaki itu didedahkan kepada Harian Metro oleh seorang bekas ahli kumpulan itu yang kembali ke pangkal jalan selepas mendapati ajaran itu bertentangan dengan Islam.
Menurutnya, ajaran DIN memang wujud di negeri ini dan kumpulan itu kini giat mengumpul ahli.
“Ramai pengikut kumpulan berkenaan di kalangan kakitangan kerajaan dan anggota tentera tetapi ada juga pelajar dan pekerja swasta.
“Ahli baru perlu membayar RM1,000 untuk upacara menebus dosa di tempat tertentu sebelum diberikan kitab fotokopi mengandungi ayat al-Quran yang pendek.
“Selepas itu, ahli diwajibkan menderma RM20 pada setiap perjumpaan dengan ‘Pemimpin Allah’ berkenaan,” katanya.
Dia seterusnya mengatakan ‘Pemimpin Allah’ memberi alasan wang yang dikutip itu untuk menegakkan sebuah negara Islam dan semua ahli perlu berkorban mencari banyak wang.
Katanya, hampir setiap minggu ketua ajaran sesat itu bertemu ahli mengikut daerah tertentu.
Dia mengesyaki ajaran yang dibawa lelaki terbabit sesat kerana dia dan pengikutnya tidak pernah sembahyang sepanjang pertemuan dijalankan.
Malah, ahli tidak boleh menyoal balik sebarang yang diperkatakan ‘Pemimpin Allah’ sama ada benar atau sebaliknya.
“Kami biasa bertemu mulai Maghrib hingga awal pagi. Tapi pada waktu Maghrib, kami tidak dibenarkan sembahyang sebaliknya diminta membaca kitab fotokopi itu,” katanya.
Dia yang meninggalkan kumpulan itu tiga bulan lalu menjelaskan, dia tidak mendapat faedah menyertai kumpulan itu selain membazir wang.
“Ramai ahli hendak meninggalkan kumpulan itu tetapi takut kerana lelaki itu mempunyai kumpulan samseng yang sedia menurut perintahnya mencari bekas ahli,” katanya yang mahu berkuasa negeri menjalankan pemantauan kerana DIN memang bergiat aktif di negeri ini.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) meminta bekas ahli kumpulan berkenaan membuat laporan bagi membolehkan tindakan diambil.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pergerakan DIN sukar dikesan berikutan kumpulan itu tidak pernah mempunyai markas di negeri ini.
Katanya, berdasarkan maklumat seorang pengadu, pengikut ajaran sesat DIN hanya menumpukan pekerja dalam sektor industri di negeri ini.
“Aduan itu diterima Oktober tahun lalu dan pengadu mendakwa ahli kumpulan berkenaan terlalu berahsia sehinggakan pengikutnya akan ditapis secara teliti oleh orang atasannya sebelum diterima masuk.
“Kami meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai perkembangan terkini kumpulan itu di talian 06-2881534,” katanya.