Thursday, September 14, 2006

Teman Wanitanya Dijerat Al-kahfi

sumber

Edisi Tengah : Jebak dakyah Pemuda Kahfi
Oleh Muhd Izawan Baharin dan Sulaiman Salleh

SEREMBAN: Ajaran sesat Daulah Islamiyah Nusantara (Din) atau Gerakan Pemuda Kahfi yang pernah aktif di negeri ini dan Melaka tidak lama dulu, dikesan masih bergerak aktif di beberapa kawasan sekitar Selangor.

Malah, pemimpin gerakan itu bijak mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dengan menggunakan taktik sentiasa berpindah dan tidak mempunyai markas khas.

Ajaran sesat itu menghalalkan pengikutnya menipu, dosa boleh ditebus dengan wang dan mensasarkan golongan berkemampuan seperti ahli korporat, pegawai tinggi kerajaan, pensyarah serta ahli politik sebagai anggota.

Seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mendakwa, dia berpura-pura menyertai ajaran sesat itu beberapa bulan lalu untuk mengetahui punca perubahan sikap teman wanitanya.

Katanya, dengan penyamaran itu, dia diberikan satu artikel ditulis seorang lelaki bernama Syahid Redha.

"Artikel itu menyatakan gerakan ajaran yang dinamakan Gerakan Ajaran Pemuda Kahfi aktif di Malaysia sejak 10 tahun lalu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Azman berkata, artikel itu turut menyertakan 28 akidah dan falsafah ajaran itu yang perlu dilaksanakan pengikutnya.

"Jabatan agama Islam perlu melakukan tindakan tegas kerana ajaran itu menghalalkan perkara diharamkan," katanya.

Menurutnya, ajaran sesat itu menganggap mereka yang tidak menyertai gerakan itu sebagai kafir, munafik dan musyrik termasuk ibu bapa, malah golongan ulama.

"Dipercayai gerakan ini bermula dari sebuah sekolah agama swasta di Jawa Barat, Indonesia dan mereka tidak mempunyai markas tetap bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, pemimpin ajaran itu menggunakan pelbagai nama samaran dan hanya muncul dalam program tertentu menyebabkan kebanyakan ahli tidak mengenali siapa pemimpin mereka.

"Lebih mengejutkan, satu daripada ajaran itu mendakwa menyentuh kitab suci al-Quran tidak perlu berwuduk, malah ia boleh dilontar, dipijak, dihempas dan diludah kerana hanya pelaksanaan isi kandungannya perlu diutamakan," katanya.

Taktik ajaran itu menyerahkan nama orang yang difikirkan layak untuk dimasukkan ke dalam `bank nama' bagi tujuan direkrutkan.

Ciri-ciri individu yang diperlukan adalah tidak terlalu tua, berharta, tidak cacat, bukan anggota keselamatan, belum dipengaruhi sebarang ideologi dan bukan mualaf.

Sehubungan itu, Azman meminta pihak penguat kuasa bagi membanteras ajaran sesat itu sebelum lebih ramai terpengaruh.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Fakhrul Azam Yahya, berkata pihak berkuasa agak sukar mengesan pergerakan itu kerana ia tidak mempunyai markas tetap.

"Malah, kami turut mendapat maklumat bahawa pengikutnya akan ditutup mata setiap kali dibawa ke markas tertentu bagi mengelak mereka tahu lokasi terbabit," katanya yang dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta pengadu atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Jais.

"Pihak kami memerangi ajaran sesat di sekitar Selangor untuk mengelakkan orang ramai terjebak," katanya.

No comments: