Edisi Tengah: Cuba cari pengikut
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengakui ajaran sesat Daulah Islamiyah Nusantara (Din) pernah cuba bertapak di negeri ini bagi mencari pengikutnya tahun lalu.
Bagaimanapun, pengikut kumpulan berkenaan dikatakan lenyap dalam tempoh beberapa bulan ketika siasatan dijalankan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pergerakan ajaran sesat Din sukar dikesan berikutan kumpulan ini tidak mempunyai markas di negeri ini.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diberikan seorang pengadu, pengikut ajaran sesat Din hanya menumpukan pekerja di sektor industri di negeri ini.
“Aduan itu diterima Oktober tahun lalu dan pengadu terbabit mendakwa ahli kumpulan berkenaan terlalu berahsia sehinggakan pengikutnya akan ditapis secara teliti oleh orang atasannya sebelum diterima masuk.
“Pengadu turut mendakwa kumpulan ajaran sesat Din berpusat di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, ajaran sesat Din atau Gerakan Pemuda Kahfi yang pernah aktif di negeri ini dan Melaka tidak lama dulu, dikesan masih bergerak aktif di beberapa kawasan sekitar Selangor.
Malah, pemimpin gerakan itu bijak mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dengan menggunakan taktik sentiasa berpindah dan tidak mempunyai markas khas.
Ajaran sesat itu menghalalkan pengikutnya menipu, dosa boleh ditebus dengan wang dan mensasarkan golongan berkemampuan seperti ahli korporat.
No comments:
Post a Comment