Dakyah antihadis di warung
Oleh :Muhd Izawan Baharin dan Sulaiman Salleh
SEREMBAN: Pengamal ajaran antihadis mengubah taktik mencari pengikut baru dengan menjadikan warung sebagai tempat untuk menyebarkan ajaran itu kepada golongan muda.
Kumpulan itu bergerak secara berkumpulan dan mendekati mereka yang berminat untuk berbincang mengenai isu semasa.
Selepas beberapa ketika, secara perlahan-lahan pengamal ajaran itu akan mengaitkannya dengan kelas tafsir yang dikatakan mampu merungkai masalah itu.
Seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Syed, 27, berkata pada awal bulan lalu, dia diperkenalkan dengan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, menerusi seorang rakan.
“Rakan menghubungi dan meminta saya datang ke sebuah warung di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk berbincang.
“Saya mulanya tertarik dengan perbincangan yang berkisar mengenai isu semasa, tambahan pula lelaki itu memang pandai membahaskan sesuatu isu,” katanya.
Bagaimanapun, Syed berkata, ada beberapa penjelasan lelaki itu yang dilihatnya bercanggah.
“Dia menggunakan ayat suci al-Quran untuk menguatkan hujahnya tetapi banyak yang bercanggah dan saya minta pertemuan kali kedua kerana perlu bertanyakan mereka yang arif agama untuk mendapatkan kepastian,” katanya.
Menurutnya, beberapa hari kemudian, dia sekali lagi bertemu dengan lelaki itu di sebuah warung di Uptown, Petaling Jaya, Selangor.
“Lelaki itu semakin berang sehingga menyebabkan kami bertengkar walaupun saya menunjukkan hadis riwayat Al-Bukhari untuk menyokong hujah saya. Dia berkeras mendakwa apa yang dikatakannya benar,” katanya.
“Saya kerap bertanya guru kelas agama yang diiktiraf kerajaan mengenai ajaran itu dan mereka menasihatkan supaya jangan terpengaruh dengan kumpulan itu,” katanya.
Katanya, selepas enggan mengikuti kelas tafsir yang didakwa mampu merungkai masalah isu semasa, dia pernah menerima pesanan ringkas (SMS) yang memarahinya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Fakhrul Azam Yahya, berkata pihaknya sudah mendapat maklumat daripada sumber tertentu dan siasatan sedang dijalankan.
“Siasatan berhubung dakwaan itu sedang dijalankan sebaik kami menerima aduan daripada pengadu,” katanya.
Sumber: Harian Metro (28 Jun 2006) dengan sedikit pindaan
No comments:
Post a Comment